Friday, March 17, 2017

Sajak Islamphobia

Sajak kuluah hari ini,
Moga terbuka hati kau mendengarnya,
Agar tersulam rasa cintamu buat memahami,
Berputik kasih untuk mendekati,
Tersingkap hijab bencimu pada kami ,saudaramu,

Kita hidup di dunia sama,
Bangun melihat sinar mentari pagi,
Mengharap hari indah bertemu yang dikasihi,
Mengapa syak wasangka aku dan kamu berbeza,
Bersengketa lama bukan cara penuh gaya,
Untuk kau mendiskriminasi mengaku raja,
Kita bebas memilih jalan agama,
Namun membebankan kami dengan kesusahan,
Walhal kau mudah segalanya,
Keadilan manakah yang kau perjuangkan hari ini!?!

Mungkin pada pandanganmu,
Setiap gerakku aneh,
Gaya hidupku berbeza denganmu,
Apa yang kusarung lebih asing,
Namun, aduhai
Kicauan burung lebih merdu bunyinya,
Dari tohmahan media yang tersebar berisi dengki,
Mengutuk,menyebar benci dan dendam pada manusia,
Agar di mata luar seharusnya kami ditakuti,
Anehnya,  kau memilih untuk percaya dari periksa,
Menolak untuk menghulurkan bantuan,
Terus kau nyalakan sumbu penderitaan,
Menafikan hak kesamarataan juga nilai kemanusiaan.

Cuba dikau merenung sejenak,
Seketika fikirkan prinsip yang dibawa,
Lihat kembali apa yang kami lakukan,
Kelembutan yang dipamerkan,
Setimpalkah dengan keganasan yang dihebohkan?

Kesejahteraan mercu agama,
Lambang buat mereka yang kurang mengenali,
Menyebar islam agar mereka memahami,
Bahawa kami bukanlah pengganas mahupun penzalim,
Atas kehendak sendiri kami turuti perintah ilahi,
Jika engkau mendengar sajak ini,
Hayati kehidupan kami sebelum mengeji,
Rasai kenikmatan bermunajat dan berzikir memuji Maha Memberi,
Di saat itu kau akan tahu,
ISLAM IS PEACE.

No comments: